Kegemilangan 28 tahun Cybernetics

Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (Cybernetics) telah ditubuhkan pada tahun 1997 dengan nama asal Cybernetics Training Center iaitu sebagai sebuah pusat latihan. Seiring dengan perkembangan pesat dalam bidang pendidikan tinggi negara, Cybernetics telah bertransformasi menjadi sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Hari ini, setelah 28 tahun penubuhannya, Cybernetics berdiri sebagai sebuah IPTS bumiputra yang berdaya saing, setaraf dengan institusi ternama lain di Malaysia, sekaligus membuktikan komitmennya dalam melahirkan modal insan berkualiti untuk memenuhi aspirasi negara.

Sejak awal penubuhan, matlamat utama Cybernetics adalah untuk menyokong agenda pembangunan Malaysia selaras dengan Dasar Pendidikan Negara. Falsafah ini dilaksanakan melalui penyediaan pendidikan dan latihan berkualiti kepada pelajar daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya lepasan SPM. Sepanjang lebih dua dekad, Cybernetics telah berjaya melahirkan lebih 40,000 graduan yang kini berada di serata dunia, memainkan peranan sebagai tenaga kerja profesional yang memenuhi keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Bidang pengajian yang ditawarkan oleh Cybernetics adalah luas dan relevan, merangkumi Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Perniagaan, Hotel Dan Katering, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pengurusan Aviasi, Multimedia Kreatif, “Cyber Forensic”, Pengurusan Logistik, Pengurusan Pelancongan dan Syariah. Kepelbagaian bidang ini menjadi bukti bahawa Cybernetics bukan sahaja menekankan aspek akademik, tetapi juga memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran khusus yang menyokong keperluan industri masa kini. Malahan, sebanyak program-program akademik yang dijalankan telah mendapat akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA), menjadikan para graduannya diiktiraf dan diyakini oleh industri.

Seiring dengan era digital, Cybernetics juga telah melaksanakan transformasi pembelajaran melalui penawaran Program Open Distance Learning (ODL) bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengurusan Sumber Manusia dan Diploma in New Media Design yang lebih mesra pengguna. Melalui kaedah ini, para pelajar berpeluang mengikuti pembelajaran dengan lebih fleksibel tanpa mengira masa dan lokasi. Kuliah secara langsung, rakaman pembelajaran, forum interaktif, tugasan maya serta penilaian berasaskan projek dapat diakses sepenuhnya secara atas talian. Inovasi ini tidak hanya memudahkan pelajar yang telah bekerja atau yang mempunyai komitmen lain, malah membuktikan bahawa Cybernetics mampu menyediakan pendidikan kontemporari yang setaraf dengan kehendak Revolusi Industri 4.0. Selain itu, untuk menggalakkan penempatan kerja lebih awal seiring sokongan pembelajaran, Cybernetics menjalinkan kolaborasi dengan industri perhotelan menawarkan kursus Work Based Learning (WBL) bagi program Diploma Pengurusan Hotel.

Selain daripada pendidikan akademik, Cybernetics turut memainkan peranan penting dalam menyokong agenda negara melalui pelaksanaan pendidikan berasaskan kemahiran. Sebagai Pusat Bertauliah TVET, Cybernetics menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam dua bidang utama iaitu Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak serta Pentadbiran Pejabat. Program TVET ini menekankan latihan praktikal sehingga 70% dengan sokongan teori sebanyak 30%, bagi memastikan pelajar benar-benar kompeten dan bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian. Malahan, semua graduan Cybernetics mempunyai laluan fleksibel untuk menyambung pengajian bermula daripada peringkat sijil, diploma dan seterusnya ke tahap yang lebih tinggi. Langkah ini menjadikan Cybernetics sebagai institusi yang seimbang dalam menawarkan laluan akademik dan kemahiran serta memenuhi keperluan negara dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Cybernetics juga terus mengekalkan kecemerlangan melalui pelbagai pengiktirafan yang diterima sepanjang perjalanan penubuhannya. Pernah diiktiraf sebagai status MSC Malaysia pada tahun 2010, pensijilan ISO 9001:2008 pada tahun 2016, penarafan 4 bintang MyQuest pada tahun 2019, dan yang terbaru, pengiktirafan sebagai IPT Berdaya Saing melalui MyQuest 2022. Semua pencapaian ini membuktikan bahawa Cybernetics konsisten dalam mengekalkan kualiti akademik, pentadbiran serta pencapaian pelajarnya.

Selain akademik, kehidupan kampus di Cybernetics turut dikenali sebagai antara yang meriah di Malaysia. Pelajar berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan, sama ada dalam bidang akademik, seni, inovasi, kesukarelawanan atau sukan. Aktiviti seperti Cybernetics Idol, Cybernetics Got Talent, Fotografi, Debat, E-sport, Program Sukarelawan dan pelbagai program komuniti menjadikan pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu, tetapi juga pengalaman yang memperkukuhkan asas Kemahiran Insaniah mereka. Seiring dengan moto institusi iaitu “We Build Confident”, Cybernetics sentiasa menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

Kemudahan prasarana di Cybernetics juga sentiasa ditambah baik bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif dan moden. Sistem Student Information Management System (SIMS) yang komprehensif membolehkan pelajar yang mempunyai urusan rekod akademik, kewangan, pembiayaan, subjek dan aktiviti kokurikulum dapat dilaksanakan dengan lebih mudah. Di samping itu, kemudahan kelas moden, makmal komputer, dewan aktiviti, restoran, student lounge dan wifi turut disediakan bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

Kesimpulannya, setelah hampir tiga dekad beroperasi, Cybernetics terus komited dalam melakar kecemerlangan pendidikan di Malaysia. Melalui gabungan program akademik, transformasi digital dan industri melalui penawaran program ODL, WBL dan APEL serta pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah TVET, Cybernetics bukan sahaja melahirkan graduan yang berilmu dan berkemahiran, malah memastikan mereka memiliki keyakinan serta daya saing tinggi di pentas pekerjaan nasional mahupun antarabangsa.